Cantik
Wednesday, October 4th, 2006Apakah itu kecantikan? Bagaimana kecantikan itu dinilai? Siapakah kita untuk menilai kecantikan? Kecantikan jika dipandang dari segi laras bahasa akarnya adalah sangat menarik apabila dipandang, sangat elok, bagus, molek. Manakala dari segi penggunaan bahasanya ditambah dengan imbuhan ‘ke’ dan ‘an’ bermaksud perihal cantik, keelokan, kemolekan dan keindahan. Namun begitu, laras bahasa cantik di atas bermaksud ke arah kebaikan, ada juga berbentuk negatif. Cantik juga diertikan sebagai biang, gasang dan gatal. Tidak semua yang perkataan positif yang selalu digunapakai ke arah itu, ada juga yang merujuk ke arah negatif. Cantik yang membawa maksud gasang adalah untuk mengatakan bahawa sesorang itu sangat suka bersetubuh dan sangat bernafsu. Itu dari segi sikap. Dari segi kelakuan, bermaksud bengis, tidak cermat dan tergesa-gesa. Ianya merujuk kepada perihal suka bersetubuh. Satu lagi perkataan yang digunakan secara sinonim dengan cantik di setengah tempat membawa maksud biang. Biang ini membawa maksud gatal, hampir tembus dan ingat-ingat lupa atau hampir putus. Jadi, berhati-hatilah. Kadangkala, orang yang tahu mengenai penggunaan Bahasa Melayu ini menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai maksud lain daripada yang lain. Sebagai contoh, jika ada yang mengatakan “Kamu nampak cantik hari ini.” Adakah dia sekadar memuji atau pun bermaksud berlainan daripada itu. Mungkin yang dimaksudkannya betul-betul merujuk kepada sangat elok dan molek. Tetapi adakah mungkin maksudnya “Kamu nampak sangat bernafsu hari ini,” atau lebih teruk “Kamu nampak sangat suka bersetubuh.” Bahasa Melayu itu sudah cantik. Kenapa hendak dirojakkan? Kenapa Bahasa Indonesia dapat dikekalkan jati bahasanya, sehingga dikatakan bahasa itu sebagai salah satu bahasa ilmu di rantau nusantara. Kenapa bukan Bahasa Melayu? Bukankah bahasa melayu itu digunakan di tiga buah negara di Nusantara iaitu di Malaysia, Brunei dan Singapura. Bukankah Bahasa Melayu itu menjadi bahasa 3 buah negara tersebut (Walaupun Singapura menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin, tetapi dari segi perlembagaan bahasa Melayu merupakan bahasa bagi negara tersebut). Mungkin juga orang kita memandang rendah bahasa sendiri. Al-maklum, dijajah selama 446 tahun oleh Eropah sampai lupa Malaysia ini terletak di Asia Tenggara.